Zietgeist

Saturday, January 28, 2006

KEKALKAN JATI DIRI ISLAM SEBAGAI AGAMA PERSEKUTUAN

KEKALKAN JATI DIRI ISLAM SEBAGAI AGAMA PERSEKUTUAN,
MANTAPKAN MAHKAMAH SYARIAH SEBAGAI MEDAN KEADILAN

21 Januari 2006


Wadah Pencerdasan Umat (WADAH) menggesa agar YAB Perdana Menteri bertindak tegas menangani polemik cabar-mencabar terhadap perkara-perkara sensitif yang telah sekian lama disepakati di dalam Perlembagaan termasuklah apa yang disifatkan sebagai perkumpulan sepuluh (10) menteri-menteri bukan Islam yang mewakili parti-parti komponen Barisan Nasional menghantar memorandum kepada YAB Perdana Menteri pada 19 Januari 2006 yang lalu berhubung penyemakan semula undang-undang berkaitan pertukaran agama.

Tindakan Tidak Bertanggungjawab Menteri-Menteri Kabinet Bukan Islam

2. WADAH melihat isu ini sebagai satu tindakan yang tidak bertanggungjawab yang cuba mengambil kesempatan di atas kelunakan Kerajaan di dalam isu-isu sensitif. Kabinet dilihat sebagai sudah berpecah dan perkumpulan ini tidak dapat berbincang secara rasional di dalam mesyuarat mingguan Kabinet sepertimana yang lazim dilakukan di sepanjang sejarah pentadbiran negara selepas Merdeka.

3. Perkumpulan ini tidak wajar membuat representasi berasingan di luar mesyuarat Kabinet kerana ini memberi tanggapan bahawa Kabinet tidak dapat lagi memutuskan sesuatu lalu terpaksa mendesak pimpinan secara terbuka.

Pengagihan Bidang Kuasa Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah

4. Sehubungan ini, WADAH juga menyanjungi tinggi ketegasan pendirian YAB Perdana Menteri untuk tidak meminda Perkara 121 (1A) (Kuasa-Kuasa Kehakiman bagi Persekutuan) di dalam Perlembagaan Persekutuan yang jelas memberi peruntukan pengagihan bidang kuasa serta tanggungjawab Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah (lihat Utusan Malaysia, 21 Januari 2006). Telah diperuntukkan bahawa Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidang kuasa berkenaan apa-apa perkara dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah. Tujuan peruntukan undang-undang ini adalah untuk mengelak percanggahan atau pertindihan antara keputusan Mahkamah Syariah dengan Mahkamah Sivil.

5. Tidak timbul isu sama ada Mahkamah Sivil lebih tinggi dari Mahkamah Syariah kerana isu yang dibangkitkan di dalam polemik ini merupakan isu undang-undang peribadi (personal law). Di dalam undang-undang peribadi, taraf mana-mana kes yang bersabit dengannya adalah sama di dalam mana-mana mahkamah, sama ada Mahkamah Sivil atau Mahkamah Syariah.

Memantapkan Peruntukan Perkara 121 (1A)

6. Untuk menghindarkan sebarang kekeliruan dan kecelaruan yang mungkin ditimbulkan oleh desakan-desakan ini, adalah penting untuk Kerajaan menjelaskan (clarify) peruntukan tersebut secara lebih mantap dan tuntas (once-for-all) tentang pengagihan bidang kuasa dan tanggungjawab Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah tanpa meminda mana-mana aspek Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan atau mana-mana peruntukan undang-undang lain.

7. Isu di sini bukanlah kekaburan Perkara 121 (1A) tetapi keengganan masyarakat bukan Islam menerima hakikat bahawa Islam adalah agama Persekutuan. Dan keengganan ini cuba dihujahkan dengan mengaitkan insiden-insiden yang telah selesai.

Penambahbaikan Struktur Mahkamah Syariah Sebagai Medan Mencari Keadilan

8. Pada masa yang sama, WADAH mendesak Kerajaan menambahbaikkan (upgrade) keseluruhan jentera pentadbiran Mahkamah Syariah agar lebih kemas dan teratur. Usaha penyeragaman undang-undang perlu disegerakan dan Mahkamah Syariah perlu dikekalkan sebagai medan mencari keadilan bukan hanya kepada masyarakat Islam bahkan juga kepada masyarakat bukan Islam.

Kebebasan Beragama Tidak Wajar Disalahguna

9. WADAH prihatin tentang semarak dan gejolak api kemarahan rakyat di merata pelusuk negara lantaran persepsi bahawa umat Melayu dan Islam sudah sekian lama dipermain-mainkan. Malah ada yang mulai menganggap bahawa sikap keterbukaan yang berlebihan di pihak umat Islam bukanlah satu penyelesaian yang baik. Bagi sesetengah pihak ini, perkara dasar yang berkaitan dengan umat Melayu dan Islam tidak harus sama sekali dikompromikan.

10. Kerajaan selama ini telahpun menjalankan dasar keterbukaan bagi menjamin keadilan dan kemakmuran dapat dinikmati oleh semua kaum. Keterbukaan dan kebebasan beragama ini sudah dirasakan terlalu berlebihan sehingga padahnya, umat Melayu dan Islam pula yang semakin tercicir dengan dasar keterbukaan ini. Sudahlah keterbukaan ini semakin tidak dihargai, malah sikap segelintir masyarakat bukan Islam menuntut perkara-perkara sebegini sememangnya tidak dapat lagi diterima oleh umat Melayu dan Islam di negara ini. Sikap sebegini tidak seharusnya dilayani.

Jangan Ada Campur Tangan Kuasa Asing

11. WADAH juga ingin mengingatkan Kerajaan bahawa sememangnya terdapat cubaan campurtangan kuasa asing dalam mengganggu kestabilan rakyat di negara ini. Agenda yang dibawa oleh segelintir ini nampaknya sudah mula mendapat dokongan dan perhatian bukan cuma dari perkumpulan-perkumpulan bukan Islam bahkan dari segelintir masyarakat Islam yang cuba menjuarai isu-isu agama. Mereka ini akan terus mendesak untuk memastikan kehendak mereka dituruti. Sepertimana cubaan-cubaan terdahulu, sekiranya mereka tidak berjaya, mereka akan melobi di peringkat antarabangsa pula.

Seruan Kesatuan dan Pencerdasan Umat

12. WADAH berpandangan bahawa apa yang berlaku ini mempunyai implikasi, hikmah dan pengajaran. WADAH dengan ini menggesa agar semua pimpinan masyarakat Melayu dan Islam agar terus bersatu mempertahankan kedaulatan dan kesucian agama Islam di negara ini.


Haji Abdul Halim Ismail
Setiausaha Kehormat
WADAH PENCERDASAN UMAT (WADAH)



WADAH dipimpin oleh YBhg Dato’ Dr Siddiq Fadzil sebagai Presiden dengan Setiausaha Kehormatnya, Haji Abdul Halim Ismail. WADAH mempunyai cawangan-cawangan di seluruh negeri.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home